Friday, November 25, 2011

Sharing is LOVING????? :-)

salam alaik...sahabat2 cik wardah yang disayangi dan dikasihi ALLAH SWT :-)


kali ni cik wardah nk kongsi tentang INI....


INI?????????...gapo dio tuh....


nk tahu gapo dio............baco deh belako lako...kalu tok sey baco pun..tok apo...:-)


Sharing is CARING...sharing is LOVING 


Wallahuallam....








takdir???????


Takdir atau ketentuan Allah SWT kadangkala mempertemukan kita dgn sesuatu yg tidak diundang atau yg tidak diinginkan, memberi apa yang tidak dirancang atau yang dimahukan, hingga memaksa kita mengalirkan air mata kesedihan dan kedukaan serta membuatkan kita rasa satu kehilangan dan patah semangat dalam kehidupan. 

Namun takdir juga menerpa kita dengan erti perkenalan, menyulam erti penghargaan, menanam nilai kasih sayang, menghadiahkan kemanisan dalam kegembiraan, menyemai benih kesabaran serta kekuatan, serta memberi peluang untuk diri menilai erti dan nilai sebenar dunia dan kehidupan..

Sesungguhnya Allah SWT tidak sesekali menzalimi hamba-hambaNya dengan ketentuanNya kerana hakikat Dia mentakdirkan sesuatu bukanlah berdasarkan sepenuhnya pada kemahuan dan keinginan diri kita, tetapi Dia mengurniakan sesuatu mengikut keperluan kita yakni bersesuaian dengan diri kita.

Ingatlah, kita sebagai hambaNya seringkali lupa dan alpa bahawa permintaan dan kehendak kita termasuklah juga kemahuan diri kita sebenarnya adakalanya didorong oleh nafsu kita. Maka kesimpulannya, bukanlah ia akan menjadi suatu perkara yang baik seandainya didorong oleh nafsu yang seringkali membuatkan manusia itu sendiri terleka. Terimalah seadanya dan hargainya apa yang telah ditentukanNya, semoga kita tergolong dikalangan hamba-hambaNya yang bersabar dan bersyukur sentiasa, insyaAllah..

Marilah kita merenung salah satu firmanNya :

"Dan memberinya rezeki dari arah yang tiada disangka-sangkanya. Dan barang siapa yang bertawakal kepada Allah nescaya Allah akan mencukupkan (keperluan) nya. Sesungguhnya Allah melaksanakan urusan (yang dikehendaki) Nya. Sesungguhnya Allah telah mengadakan ketentuan bagi tiap-tiap sesuatu." [Ath Thalaaq ayat 3

Tuesday, November 22, 2011

musim :-)

4 perkara...............:-)
Renung-renungkanlah wahai muslimin sekalian.....

Nasihat Nabi s.a.w yang bermaksud:

“Perempuan dinikahi kerana empat hal: hartanya, keturunannya, kecantikanya dan agamanya. Maka pilihlah wanita kerana agamanya,maka kamu akan selamat.” (Muttafaq ‘alaih)


Nabi s.a.w bersabda kepada Ibnu Abbas, yang bermaksud:

“Mahukah kamu aku tunjukkan kepadamu hal yang paling mulia jika dimiliki oleh lelaki? Ialah isteri yang solehah: ketika dia memandangnya dia senang, ketika dia menginginkannya melakukan sesuatu dia pun memenuhinya, dan ketika dia pergi dia dapat dipercayai dan setia kepadanya.

Abu Hurairah berkata:

Nabi saw ditanya: ”Perempuan mana yang terbaik?” Baginda menjawab: “Perempuan yang menyenangkannya ketika dia memandangnya, yang mentaatinya ketika dia memintanya untuk melakukan sesuatu, dan yang tidak melakukan sesuatu yang tidak disukainya berkenaan dengan dirinya dan harta suaminya.”

Inilah bimbingan yang diberikan oleh Nabi s.a.w berkaitan dengan keperibadian seorang perempuan yang berupaya membawa kebahagiaan, ketenangan dan kedamaian bagi lelaki dan yang bisa mendatangkan bahagia, kesenangan dan keamanan di rumah tangga, yang akan melahirkan anak-anak yang cerdas, berjaya dan beriman dan rumahtangga yang bahagia hingga ke akhirat insyaAllah...

Wednesday, November 9, 2011

MAAF...aku sudah bertunang!


Assalamualaikum.....
Apa khabar teman2 cik wardah detik dan waktu ini..doa cik wardah..agar sentiasa dalam Rahmat dan inayahNYA...:-)

jom baca cerita ni sama2...kalu tak nak baca pun..baca je la tajuk tu...

Sharing Is Caring :-)


 ***********************************************************

Hari-hari berlalu yang dilewati seakan sudah bertahun lamanya, namun yang perlu diakui ialah ianya baru beberapa minggu lalu. Iya, hanya beberapa minggu lalu. Berita itu aku sambut dengan hati yang diusahakan untuk berlapang dada. Benar, aku berusaha berlapang dada. Terkadang, terasa nusrah Ilahi begitu hampir saat kita benar-benar berada di tepi tebing, tunggu saat untuk menjunam jatuh ke dalam gaung. Maha Suci Allah yang mengangkat aku, meletakkan aku kembali di jalan tarbiyyah dan terus memimpin untukku melangkah dengan tabah. 

Aku hanya seorang muslimah. Tiada kelebihan yang teristimewa, tidak juga punya apa-apa yang begitu menonjol. Jalan ku juga dua kaki, lihat ku juga menggunakan mata, sama seperti manusia lain yang menumpang di bumi Allah ini. Aku tidak buta, tidak juga tuli mahupun bisu. Aku bisa melihat dengan sepasang mata pinjaman Allah, aku bisa mendengar dengan sepasang telinga pinjaman Allah juga aku bisa bercakap dengan lidahku yang lembut tidak bertulang. Sama seperti manusia lain. 

Aku bukan seperti bondanya Syeikh Qadir al-Jailani, aku juga tidak sehebat srikandi Sayyidah Khadijah dalam berbakti, aku bukan sebaik Sayyidah Fatimah yang setia menjadi pengiring ayahanda dalam setiap langkah perjuangan memartabatkan Islam. Aku hanya seorang Insyirah yang sedang mengembara di bumi Tuhan, jalanku kelak juga sama... Negeri Barzakh, insya Allah. Destinasi aku juga sama seperti kalian, Negeri Abadi. Tiada keraguan dalam perkara ini. 

Sejak dari hari istimewa tersebut, ramai sahabiah yang memuji wajahku berseri dan mereka yakin benar aku sudah dikhitbah apabila melihat kedua tangan ku memakai cincin di jari manis. Aku hanya tersenyum, tidak mengiyakan dan tidak pula menidakkan. Diam ku bukan membuka pintu-pintu soalan yang maha banyak, tetapi diam ku kerana aku belum mampu memperkenalkan insan itu. Sehingga kini, aku tetap setia dalam penantian. 

Ibu bertanyakan soalan yang sewajarnya aku jawab dengan penuh tatasusila.

"Hari menikah nanti nak pakai baju warna apa?" 

Aku menjawab tenang.. "Warna putih, bersih..." 

"Alhamdulillah, ibu akan usahakan dalam tempoh terdekat." 

"Ibu, 4 meter sudah cukup untuk sepasang jubah. Jangan berlebihan." 

Ibu angguk perlahan. 

Beberapa hari ini, aku menyelak satu per satu... helaian demi helaian naskhah yang begitu menyentuh nubari aku sebagai hamba Allah. Sukar sekali aku ungkapkan perasaan yang bersarang, mahu saja aku menangis semahunya tetapi sudah aku ikrarkan, biarlah Allah juga yang menetapkan tarikhnya kerana aku akan sabar menanti hari bahagia tersebut. Mudah-mudahan aku terus melangkah tanpa menoleh ke belakang lagi. Mudah-mudahan ya Allah. 

Sejak hari pertunangan itu, aku semakin banyak mengulang al-Quran. Aku mahu sebelum tibanya hari yang aku nantikan itu, aku sudah khatam al-Quran, setidak-tidaknya nanti hatiku akan tenang dengan kalamullah yang sudah meresap ke dalam darah yang mengalir dalam tubuh. Mudah-mudahan aku tenang... As-Syifa' aku adalah al-Quran, yang setia menemani dalam resah aku menanti. Benar, aku sedang memujuk gelora hati. Mahu pecah jantung menanti detik pernikahan tersebut, begini rasanya orang-orang yang mendahului. 

"Kak, siapa tunang akak? Mesti hebat orangnya. Kacak tak?" 

Aku tersenyum, mengulum sendiri setiap rasa yang singgah. Maaf, aku masih mahu merahsiakan tentang perkara itu. Cukup mereka membuat penilaian sendiri bahawa aku sudah bertunang, kebenarannya itu antara aku dan keluarga. 

"Insya Allah, 'dia' tiada rupa tetapi sangat mendekatkan akak dengan Allah. Itu yang paling utama." 

Berita itu juga buat beberapa orang menjauhkan diri dariku. Kata mereka, aku senyapkan sesuatu yang perlu diraikan. Aku tersenyum lagi. 

"Jangan lupa jemput ana di hari menikahnya, jangan lupa!" 

Aku hanya tersenyum entah sekian kalinya. Apa yang mampu aku zahirkan ialah senyuman dan terus tersenyum. Mereka mengandai aku sedang berbahagia apabila sudah dikhitbahkan dengan 'dia' yang mendekatkan aku dengan Allah. Sahabiah juga merasa kehilangan ku apabila setiap waktu terluang aku habiskan masa dengan as-Syifa' ku al-Quran, tidak lain kerana aku mahu kalamullah meresap dalam darahku, agar ketenangan akan menyelinap dalam setiap derap nafas ku menanti hari itu. 

"Bila enti menikah?" 

Aku tiada jawapan khusus. 

"Insya Allah, tiba waktunya nanti enti akan tahu..." Aku masih menyimpan tarikh keramat itu, bukan aku sengaja tetapi memang benar aku sendiri tidak tahu bila tarikhnya. 

"Jemput ana tau!" Khalilah tersenyum megah. 

"Kalau enti tak datang pun ana tak berkecil hati, doakan ana banyak-banyak! " Itu saja pesanku. Aku juga tidak tahu di mana mahu melangsungkan pernikahan ku, aduh semuanya menjadi tanda tanya sendiri. Diam dan terus berdiam membuatkan ramai insan berkecil hati. 

"Insya Allah, kalian PASTI akan tahu bila sampai waktunya nanti..." 

Rahsia ku adalah rahsia Allah, kerana itu aku tidak mampu memberikan tarikhnya. Cuma, hanya termampu aku menyiapkan diri sebaiknya. Untung aku dilamar dan dikhitbah dahulu tanpa menikah secara terkejut seperti orang lain. Semuanya aku sedaya upaya siapkan, baju menikahnya, dan aku katakan sekali lagi kepada ibu... 

"Usah berlebihan ya..." 

Ibu angguk perlahan dan terus berlalu, hilang dari pandangan mata. 

"along, jom makan!" 

Aku tersenyum lagi... Akhir-akhir ini aku begitu pemurah dengan senyuman. 

"Tafaddal, ana puasa." 

Sahabiah juga semakin galak mengusik. 

"Wah, enti diet ya. Maklumlah hari bahagia dah dekat... Tarikhnya tak tetap lagi ke?" 

"Bukan diet, mahu mengosongkan perut. Maaf, tarikhnya belum ditetapkan lagi." 

Sehingga kini, aku tidak tahu bila tarikhnya yang pasti. Maafkan aku sahabat, bersabarlah menanti hari tersebut. Aku juga menanti dengan penuh debaran, moga aku bersedia untuk hari pernikahan tersebut dan terus mengecap bahagia sepanjang alam berumahtangga kelak. Doakan aku, itu sahaja. 

............ ......... ......... ......... 

"innalillahi wainna ilaihi rajiun..." 

"Tenangnya.. . Subhanallah. Allahuakbar. " 

"Ya Allah, tenangnya... " 

"Moga Allah memberkatinya. ..." 

Allah, itu suara sahabat-sahabat ku, teman-teman seperjuangan aku pada ibu. 

Akhirnya, aku selamat dinikahkan setelah sabar dalam penantian. Sahabiah ramai yang datang di majlis walimah walaupun aku tidak menjemput sendiri. 

Akhirnya, mereka ketahui sosok 'dia' yang mendekatkan aku kepada Allah. 
Akhirnya, mereka kenali sosok 'dia' yang aku rahsiakan dari pengetahuan umum. 
Akhirnya, mereka sama-sama mengambil 'ibrah dari sosok 'dia' yang mengkhitbah ku. 

Dalam sedar tidak sedar... 

Hampir setiap malam sebelum menjelang hari pernikahan ku... Sentiasa ada suara sayu yang menangis sendu di hening malam, dalam sujud, dalam rafa'nya pada Rabbi, dalam sembahnya pada Ilahi. Sayup-sayup hatinya merintih. Air matanya mengalir deras, hanya Tuhan yang tahu. 

"Ya Allah, telah Engkau tunangkan aku tidak lain dengan 'dia' yang mendekatkan dengan Engkau. Yang menyedarkan aku untuk selalu berpuasa, yang menyedarkan aku tentang dunia sementara, yang menyedarkan aku tentang alam akhirat. Engkau satukan kami dalam majlis yang Engkau redhai, aku hamba Mu yang tak punya apa-apa selain Engkau sebagai sandaran harapan. Engkau maha mengetahui apa yang tidak aku ketahui..." 

Akhirnya, Khalilah bertanya kepada ibu beberapa minggu kemudian... 

"Along bertunang dengan siapa, mak cik?" 

Ibu tenang menjawab... "Dengan kematian wahai anakku. Kanser tulang yang mulanya hanya pada tulang belakang sudah merebak dengan cepat pada tangan, kaki juga otaknya. Kata doktor, along hanya punya beberapa minggu sahaja sebelum kansernya membunuh." 

"Allahuakbar. .." Terduduk Khalilah mendengar, air matanya tak mampu ditahan. 

"Buku yang sering dibacanya itu, malam pertama..." 

Ibu angguk, tersenyum lembut... "Ini nak, bukunya." Senaskah buku bertukar tangan, karangan Dr 'Aidh Abdullah al-Qarni tertera tajuk 'Malam Pertama di Alam Kubur'. 

"Ya Allah, patut la Along selalu menangis... Khalilah tak tahu mak cik." 

"Dan sejak dari hari 'khitbah' tersebut, selalu Insyirah mahu berpuasa. Katanya mahu mengosongkan perut, mudah untuk dimandikan.. ." 

Khalilah masih kaku. Tiada suara yang terlontar. Matanya basah menatap kalam dari diari Insyirah yang diberikan oleh ibu. 

"Satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku di risik oleh MAUT. Dan satu cincin ini aku pakai sebagai tanda aku sudah bertunang dengan MAUT. Dan aku akan sabar menanti tarikhnya dengan mendekatkan diri ku kepada ALLAH. Aku tahu ibu akan tenang menghadapinya, kerana ibuku bernama Ummu Sulaim, baginya anak adalah pinjaman dari ALLAH yang perlu dipulangkan apabila ALLAH meminta. Dan ibu mengambil 'ibrah bukan dari namanya (Ummu Sulaim) malah akhlaqnya sekali. Ummu Sulaim, seteguh dan setabah hati seorang ibu." 
************ ********* ********* ********* *******

P/s: Kematian itu akan datang.. secara tiba-tiba.. Cukuplah ia menjadi peringatan kepada kita.. Kita akan berpisah.. berpisah dari segala-galanya.. Sedarlah, ada tempat yang kekal menanti kita di sana.. berwaspadalah..  Bimbang.. kita  dilamar tanpa sedar.. sedar-sedar sudah diarak dengan kelengkapan pakaian pengantin serba putih.

Tuesday, November 8, 2011

Hati...tetap sama...:-)


Salam Mahabbah buat semua sahabat cik wardah....:-)
JOM2..baca artikel ni...:-)
Kadangkala kita mengidamkan sesuatu berlaku, tetapi yang lain pula yang terjadi. Sebaliknya, ada yang kita tidak inginkan sama sekali, tetapi itu pula yang berlaku. Apabila berlaku demikian hati kita pasti terusik. Sesal, kesal, marah dan kekadang sangat kecewa.  Jadi bagaimana kita harus menghadapi situasi sedemikian dengan sebaik-baiknya?
Pertama, kita perlu faham bahawa hidup ini ada peraturannya. Salah satu peraturannya ialah apa yang kita hendak tidak semuanya akan dapat dicapai. Inilah 'rules of life" – sunnahtullah. Siapa yang tidak mahu menerima hakikat ini... maka tidak layaklah dia hidup. Misalnya, kalau kita main bola, kena gunakan kaki. Tidak boleh gunakan tangan. Siapa yang hendak gunakan tangan juga, maka dia tidak layak bermain bola.
Begitulah juga dengan hidup ini. Hidup ini satu ujian. Tidak semua yang kita idamkan dapat dikecapi. Yang kaya, kadangkala tidak sihat. Yang ternama, dimusuhi orang. Yang sihat, terputus pula kasih-sayang. Inilah buktinya kita masih dan terus kekal sebagai hamba Allah. Hamba dicorakkan oleh Tuhan-nya. Justeru, kita tidak boleh memberontak, kenapa jadi begini? Kenapa gagal?
Jika itulah yang selalu bermain-main di dalam fikiran, itu petanda tidak puas hati. Suara berontak jiwa terhadap ketentuan Allah. Sedarlah bahawa kita hamba maka buatlah kerja kita sebagai hamba. Tuhan dengan ketentuan-Nya. Jadi, apabila diuji... katalah aku ini hamba Allah. Layaklah aku diperlakukan seperti hamba... Terusik hati itu biasalah, kita lemah. Merintih juga hati di dalam. Tetapi jangan sampai marah-marah, putus asa dan kecewa.
Apa yang Allah tentukan kadangkala kelihatan negatif pada kita, tetapi lama kelamaan kelihatan positif pula... Itulah yang dikatakan tadi, apa yang kita sangka buruk kadangkala baik untuk kita. Begitu juga sebaliknya. Katalah, kita ingin berjaya, tiba-tiba gagal. Bukan tidak berusaha... Kita sudahpun berusaha, tapi gagal juga. Apa perlu dibuat lagi?
Sebaiknya kita terima kegagalan itu, kita kaji sebabnya, kemudian kita berusaha lagi. Rupanya dengan sebab itu, Allah beri kita kejayaan yang lebih besar lagi. Contohnya, dalam perniagaan. Kita ingin keuntungan besar, tetapi yang kita dapat hanya sedikit....
Namun, kerana kegagalan itu kita berusaha lebih gigih... akhirnya beberapa tahun kemudian keuntungan kita meningkat. Sedangkan ada orang lain yang pada mulanya mendapat keuntungan yang besar... tetapi keuntungan tidak bertambah. Mengapa? Kerana dia mula relaks, over confident - sedangkan kita terpaksa bertungkus-lumus akibat kegagalan yang pertama.
Bijak dan baik sungguh aturan Allah. Benarlah kata bijak pandai, kegagalan itu anak tangga kejayaan. Contoh lain, ubat. Ubat itu pahit... kalau kita tidak faham, kita luahkan semula. Pahit, tidak tertelan oleh kita. Tetapi kerana kita faham dan yakin itu ubat, maka kita telan juga walaupun pahit. Hasilnya, kita sihat. Begitulah kita dengan sesuatu yang negatif, akan bertukar jadi positif akhirnya jika kita pandai dan bijak menanganinya. Jadi, dalam hidup kita harus belajar, yang pahit jangan cepat diluahkan, yang pedih jangan segera dirungutkan... Sering ada kejayaan, kemanisan yang lebih indah menanti selepasnya.
Dalam dunia hari ini ada kelompok yang kuat berusaha tetapi longgar ingatannya kepada takdir Allah. Dan ada pula golongan yang seolah-olah kuat kepercayaannya kepada takdir Tuhan hingga melupakan usaha ikhtiar. Kita mesti bebaskan diri daripada dua ektrem itu. Ekstrim pertama, bergantung kepada takdir kurang berusaha. Ini tidak betul kerana Allah ada peraturan-Nya... yang dipanggil sunnahtullah.
Dalam sunnahtullah, sesuatu perkara itu ada sebab dan akibatnya (cause and effect). Untuk lulus kita perlu belajar. Kalau kita tidak belajar, kita tidak akan lulus... kerana sunnahtullah sudah menetapkan begitu. Jadi tidak bolehlah kita hendak berjaya hanya dengan berdoa, solat hajat dan minum air penawar sahaja. Ini  tawakkal tidak berbekal namanya.
Manakala golongan kedua pula kuat berusaha tanpa bergantung kepada takdir. Dia percaya pada usaha ikthiarnya sahaja, lansung tak bergantung kepada kudrat dan iradat  Allah. Ini salah. Kerana, usaha kita itu walau bagaimana hebat sekalipun tidak akan memberi kesan jika Allah tidak mengizinkan-Nya.
Justeru jika dia berjaya, ia akan jadi orang yang sombong, lupa diri kerana disangkanya kejayaan itu dari kepandainya. Manakala kalau dia gagal pula, dia akan kecewa, dia putus asa. Jadi, berjaya pun rosak. Gagal pun rosak. Jadi, buat golongan ini apapun hasil usahanya, kedua-duanya merosakkan!
Sebaik-baiknya kita berusaha sungguh-sungguh dan kemudian bertawakkal – berserah kepada Allah. Kata orang, hujung akal, baru tawakkal. Kalau beginilah sikap kita, bila berjaya kita syukur. Kita tawadduk. Kita tidak sombong.  Sebab kita yakin walaupun kita telah berusaha, tetapi Allahlah yang memberi kejayaan kita.
Sebaliknya, kalau kita gagal pula... kita tidak sakit jiwa. Sebab kita yakin Allah-lah yang menggagalkan kita. Allah tahu kita telah berusaha, jadi bila digagalkan juga... tentu ada hikmah yang tersembunyi. Kembalilah kita kepada ujian hidup seperti yang diperkatakan pada awal tadi... ya kita hamba!
Ada kalangan manusia yang apabila berjaya dia mengatakan, "ini semua hasil usaha saya..." Wah sombongnya. Sebaliknya jika gagal dia mengatakan, "semua ini sudah takdir..." Tidak sayugianya kita berkata demikian. Sebenarnya, apabila kita berjaya, itu takdir Allah. Kalau kita gagal pun itu juga takdir dari Tuhan.
Jika kita katakan, kalau berjaya kerana kita, tetapi bila gagal kerana Tuhan... Itu tidak beradab dengan Allah. Seolah-olah kita lebih bijak daripada Allah.  Dengan kata-kata yang demikian, kita merobek-robekkan sifat kehambaan kita. Bukankah Islam mengajar kita, mengucapkan Alhamdulillah – puji bagi Allah apabila berjaya. Dan mengatakan Innalillah – kita ini milik Allah apabila kita gagal?
Ya, syukur dan sabar inilah pakaian kita. Dengannya, dapat atau tidak dapat, jadi atau tidak jadi, hati tetap sama... kita tetap memiliki dan dimiliki Allah!