Tuesday, April 19, 2011

ALLAH ajarkan berserah kepadaNYA....

 cik wardah amik dari iluvislam....saje nk sampai2kan..walaupun 1 ayat...islam itu indah....



Pada hari ini saya ingin berkongsi pengalaman yang saya lalui diajar berserah kepada-Nya. Saya mempunyai penyakit gastrik yang agak ganjil.
Lebih kurang 8 tahun yang lalu, saya sering dimasukkan ke hospital kerana apabila saya diserang rasa sakit, jantung saya akan berdegup dengan laju dan saya mengalami rasa seperti sakit dibahagian paru-paru.
Sudah begitu banyak hospital pakar yang saya pergi dan sudah ramai doktor pakar saya temui namun saya tidak sembuh sepenuhnya. Alhamdulillah, semenjak saya memulakan herba yang diberikan oleh Dr. Aslina, kawan baik saya, penyakit saya nampaknya beransur pulih. Namun ada masanya terutamanya jam 3 atau 4 pagi, saya akan terjaga kerana terasa sakit dan degupan jantung yang laju.
Kalau dahulu saya sering dibawa ke hospital walaupun jam 3 atau 4 pagi. Namun kerana kasihankan suami saya yang terpaksa bangun di awal pagi, saya cuba menenangkan kondisi saya dengan memakan ubat gastrik, meminum air zam-zam dan berdoa kepada Allah.
Tidak saya nafikan ketakutan yang dirasa apabila diserang sakit tersebut dan kerana rasa ketakutan maka saya sering berdoa kepada Allah apabila dalam keadaan sakit itu. Alhamdulillah, lebih kurang dalam 30 minit sehingga 1 jam, keadaan saya pulih, insya-Allah tanpa perlu di bawa ke hospital.
Beberapa hari yang lalu, saya diserang lagi rasa kesakitan dan jantung saya berdegup laju. Namun pada kali ini, ada yang mengajar di dalam diri saya bahawa apa yang sedang saya alami itu merupakan perancangan Allah. Justeru saya malu untuk berdoa seolah-olah memaksa Allah untuk tidak mengikut perancangan-Nya.
Pada sesaat itu juga (begitu cepat sekali), diri dan badan saya terus merelakan kesakitan itu dan secara otomatisnya, saya mahu ikut saja kehendak dan perancangan Allah. Apa saja yang akan berlaku malam ini, saya relakan dan ikutkan (itulah lebih kurang rasa hati saya).
Apa yang mengejutkan saya, degupan jantung yang laju kembali berdegup normal dalam tempoh beberapa saat saja selepas saya merelakannya. Saya merasakan diri saya dekat dengan Allah ketika itu, Allah yang sebenarnya sedang melakukan sesuatu dengan organ dibadan saya.
Suasana seterusnya terasa indah sekali. Saya merasakan keindahan berserah kepada Allah. Seperti air yang mengalir dengan tenang tanpa ada halangan, terus ia mengalir tanpa susah dan payah. Namun bayangkan apabila kita tidak mahu mengikuti apa yang dimahukan Allah dan kita berdoa seolah-olah memaksa Allah mengikut kemahuan kita, kehidupan jadi huru hara, badan sakit dan jiwa merana.
Hanya Allah Yang Maha Mengetahui..

Biodata Penulis

Nor Azliza merupakan seorang Konsultan Pembangunan Modal Insan bersama Fauzul Azim Sdn Bhd. Penulis ruangan srikandi Majalah Nur. 20 tahun pengalaman dengan Tenaga Nasional Berhad di dalam bidang Pengurusan dan Pembangunan Sumber Manusia, Perancangan Strategik dan Bisnes dan sebagainya. Beliau menulis di blog ummuayman.blogspot.com.

No comments:

Post a Comment